Recent Posts

Visit http://www.ipligence.com

Friday, February 15, 2013

Puluhan Lelaki Bersenjata Warga Filipina Dikesan Di Lahad Datu



Sekatan jalan raya oleh Pasukan Keselamatan di Lahad Datu berikutan insiden pencerobohan sekumpulan lelaki warga asing yang bersenjata api.

POLIS KENAL PASTI KUMPULAN FILIPINA MENDARAT DI PERSISIR PANTAI LAHAD DATU

Kota Kinabalu, 14 Feb - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di persisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Beliau berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

"Kita telah hantar pasukan untuk berunding dengan mereka dan perbincangan berjalan baik dan kita beritahu mereka bahawa mereka kena tinggal (Sabah) secara
baik dan kita tidak mahu apa-apa keadaan yang boleh menggugatkan keselamatan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Ismail berkata kumpulan itu yang kini berada di Kampung Tandau, Labian di Lahad Datu memberi jaminan akan meninggalkan tempat itu (Sabah) secepat mungkin dengan syarat tuntutan mereka dipenuhi. Beliau berharap anggota kumpulan berkenaan akan meninggalkan negeri ini secepat mungkin dan menegaskan tuntutan seharusnya dibuat secara diplomatik, bukan secara mengejut seperti yang dilakukan itu.

"Kita lihat perbincangan dalam keadaan terkawal dan pasukan keselamatan telah mengambil tindakan awal dengan mengepung kampung itu sejak semalam dan saya percaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengganggarkan kumpulan itu melebihi 100 orang dan tidak menolak kemungkinan mereka bersenjata, namun demikian polis mengambil pendekatan 'berhati-hati' bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Setakat ini keadaan tidak tegang dan mereka kelihatan berkelakuan baik. Kita percaya kumpulan itu mempunyai sahabat di kampung itu tetapi tidak mempunyai rumah di situ. Mereka pergi duduk di surau dan menumpang rumah-rumah
di kampung," katanya sambil menambah kumpulan itu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kumpulan militan di Filipina.

Pada peringkat ini, katanya, rundingan sedang berjalan dan beliau menasihati penduduk di sekitar Lahad Datu supaya tidak percaya pada khabar angin. Beliau turut memberi jaminan bahawa keadaan adalah baik serta selamat dan polis Sabah akan melakukan yang terbaik untuk menangani kemelut itu segera. Katanya kumpulan itu difahamkan menggunakan bot pancung dan pihaknya akan menyiasat bagaimana mereka berjaya memasuki negara ini. - BERNAMA






IGP: Warga asing bersenjata dikepung di Sabah.

Tarikh: February 14, 2013

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa keselamatan berjaya mengesan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu, Sabah, semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar malam tadi berkata, kumpulan tersebut menceroboh masuk disebabkan masalah yang berlaku di selatan Filipina.

Beliau berkata, pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan tersebut dan mengarahkan kumpulan tersebut meletak senjata serta menyerah diri.

"Keadaan ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang," kata Ismail dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan pada pukul 8.30 malam tadi.

Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian celoreng tentera telah mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Bagaimanapun setakat 10 malam tadi, pihak berkuasa keselamatan tidak dapat mengesahkan tujuan kumpulan itu sama ada merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di bandar berkenaan.

Pihak berkuasa juga tidak dapat memastikan sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan tiga lelaki termasuk bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat di sini, minggu lepas dan kematian seorang rakyat Malaysia Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina di Davao, selatan Filipina, 14 Disember lepas.

Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu dan hanya berkata "tunggu kenyataan daripada Ketua Polis Negara."

Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata, polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya belum terima apa-apa maklumat... ia di bawah siasatan polis Sabah. Jika warga asing itu telah ditahan pasukan tentera maka kesemua mereka akan diserahkan kepada pihak polis untuk disoal siasat," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan kemungkinan satu sidang media akan diadakan hari ini berhubung perkara itu.

Pada November lepas, seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai timur Sabah.

Selain insiden itu, pada September 1985, sebuah bank dan pejabat Malaysia Airlines (MAS) di Lahad Datu pernah dirompak oleh 26 lelaki dan
seorang wanita, yang bersenjatakan M-16, pelancar grenade dengan kumpulan itu berpakaian ala tentera.

Dalam rompakan itu 11 orang awam terbunuh manakala seorang pengawal dan tiga orang awam cedera. - Bernama

0 komen:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More