22 Ogos 2013
Y.B. Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi bin Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS),
Pejabat Presiden,
No. 318-A,
Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur.
Menemui Y.B. Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS
Assalamualaikum WR WB.
Yang Berhormat,
Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah membaca dan meneliti kenyataan YB Datuk Seri berkenaan isu Syiah ketika sesi dialog pada Majlis Ramah Mesra Idulfitri anjuran Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Dewan Tok Guru Rusila, Marang, Terengganu seperti yang telah disiarkan oleh portal berita rasmi PAS, Harakahdaily bertajuk ‘Isu Sunni-Syiah agenda lemahkan umat Islam’ pada 20 Ogos lalu.
Dengan demikian, saya dengan rasa rendah diri terpanggil untuk mengulas beberapa perkara yang dinyatakan oleh YB Datuk Seri dalam laporan tersebut.
Berikut adalah ulasan dan pandangan saya:
1. Harakahdaily melaporkan bahawa YB Datuk Seri menyifatkan isu kontroversi antara mazhab Sunni-Syiah merupakan perkara lama yang sengaja ditimbulkan semula. Portal berita itu pada awal laporan kenyataan YB Datuk Seri itu turut menekankan peringatan supaya umat Islam tidak leka dan terpengaruh dengan agenda barat mahu melemahkan Islam dengan permasalahan mazhab Sunni-Syiah tersebut. Saya pasti penekanan Harakahdaily itu yang turut menjadi tajuk laporannya adalah manifestasi dari kenyataan YB Datuk Seri sendiri di Majlis Ramah Mesra Idulfitri anjuran Perantau tempoh hari.
2. Saya berpendapat bahawa pandangan YB Datuk Seri dalam isu Sunni-Syiah ini tidak tepat dan bercanggah dengan realiti sebenar penyebab berlaku ledakan semula isu ini terutama di media-media massa serta forum-forum anjuran kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.
3. Sebenarnya isu Sunni-Syiah ini kembali menjadi antara topik utama dalam perbincangan umat Islam di seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia, ekoran ‘penyembelihan’ beramai-ramai rakyat Syria oleh Rejim Basyar Al-Assad, penganut Syiah Alawiyah yang didukung secara terbuka oleh Kerajaan Iran dan Pertubuhan Hizbullah. Perkembangan ini turut meresahkan para agamawan di Malaysia (bukan ahli politik atau UMNO) lantas mendorong mereka mengetengahkan secara lebih intensif isu bahaya Syiah di tanah air.
4. Kesinambungan kepada isu yang menyemarak itu, akhbar-akhbar arus perdana mula mengangkat semula isu itu secara besar-besaran bermula dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada 18 Julai 2013 bahawa Kerajaan Negeri Kedah akan mewartakan fatwa anti Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat. Akhbar Sinar Harian menjadi media massa arus perdana pertama yang bertindak agresif membongkar isu Syiah ini.
5. Justeru, realiti ini dengan sendirinya telah menyanggah pandangan YB Datuk Seri bahawa isu Sunni-Syiah ini dicetuskan oleh Barat. Hakikatnya, isu ini dicetuskan oleh tindak-tanduk Syiah sendiri. Akal yang rasional dapat mena’akul dan memahami bahawa kewujudan kelompok Syiah yang besar dalam negara Islam pasti akan menimbulkan pertelagahan dan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan. Walaupun mungkin di sesetengah tempat dahulunya konflik Sunni-Syiah ini masih boleh dibendung, tetapi dengan menyuburnya liberalisasi politik di peringkat antarabangsa dan keterbukaan maklumat hasil kemajuan teknologi dan globalisasi, ia akhirnya telah meledak ibarat bom jangka seperti mana berlaku di Syria dan Iraq. Sementara itu, serangan berani mati dan saling berbunuhan antara Sunni dan Syiah masih kerap berlaku di Pakistan, India, Aghanistan dan Yaman.
6. Umum mengetahui bahawa kewujudan ajaran Syiah di negara ini bukan baru berlaku. Pengaruh mereka semakin mula melebar di Malaysia selepas tercetusnya Revolusi Iran pada tahun 1979 terutama dalam parti politik dan pertubuhan Islam, tidak terkecuali Parti Islam SeMalaysia (PAS). Fakta ini tidak boleh dinafikan lagi dan boleh dibuktikan melalui dokumentasi sejarah rasmi parti dan pemimpin-pemimpin PAS sendiri.
7. Buku ‘Memoir Politik Asri: Meniti Arus’ mencatatkan bagaimana pekikan kalimah Iran `Marakbah Asri' (pergi mampus Asri!) yang berselang seli dengan kalimah Allahuakbar! dalam Muktamar ke-28 PAS, Oktober 1982 telah menumbangkan Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS ketika itu, Datuk Asri Muda (kemudian Allahyarham Tan Sri Asri Muda) dari kepimpinannya. Usaha menjatuhkan Asri banyak digerakkan oleh ahli-ahli Dewan Pemuda PAS pimpinan Mustafa Ali (sekarang Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali) yang terpengaruh dengan Revolusi Iran dan konsep ‘Wilayah al-Faqih’ Imam Khomeini, dan YB Datuk Seri sendiri difahamkan juga terlibat sama.
Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat, 1981-1982 mencatatkan bahawa Mustafa Ali yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS (1975-1987) ketika itu telah mengetuai lawatan ke Iran pada bulan Jun 1982 untuk meninjau keberkesanan kepimpinan ulama di sana.
8. Konsep ‘Kepimpinan Ulama’ yang dipelopori kepimpinan PAS selepas Datuk Asri Muda di bawah Ustaz Yusof Rawa (yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki, beliau juga merupakan Mursyidul Am PAS pertama dari 1987sehingga tahun 1991) sering dikaitkan dengan konsep ‘Wilayah al-Faqih’ Imam Khomeini dan pemerintahan Ayatollah di Iran. Maka tidak hairanlah ketika awal tahun 80-an dahulu, poster-poster Imam Khomeini digantung di kebanyakan pejabat, markas dan kediaman pemimpin-pemimpin PAS. Ucapan-ucapan para pemimpin dan aktivis PAS memuji, menyanjung dan mahu mencontohi Syiah di Iran ketika itu masih tersimpan kemas dalam bentuk teks dan audio. Ia termasuklah ucapan YB Datuk Seri dan ucapan kontroversi Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya.
Muka depan akhbar rasmi PAS, Harakah bertarikh Jumaat, 9 Jun 1989 (11 Zulkaedah 1409H) yang memaparkan kenyataan Mursyidul Am PAS ketika itu, Ustaz Yusuf Rawa yang menyifatkan kematian Khomeini sebagai kehilangan besar kepada umat Islam. Harakah keluaran tersebut juga turut memuatkan rencana dua halaman penuh mengenai latar belakang pendidikan serta ketokohan Khomeini.
9. Kemuncak kepada isu Syiah di Malaysia sebenarnya telah berlaku pada 1996, apabila Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syiah dan mengharamkan pengamalannya di negara ini. Fatwa sama kemudian telah diputuskan oleh jawatankuasa fatwa semua negeri di Malaysia. Pada tahun yang sama, kerajaan juga telah melakukan operasi tahanan ISA secara besar-besaran terhadap penggerak utama ajaran Syiah di negara ini yang turut melibatkan salah seorangnya adalah suami kepada sepupu saya (Allahyarham Wan Hanafi).
10. Fatwa pengharaman Syiah pada 1996 tersebut juga telah memansuhkan kebenaran yang diberikan kepada dua ajaran Syiah iaitu Al-Zaidiyah dan Jaafariah yang diterima untuk diamalkan di Malaysia seperti diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang diadakan pada 24 dan 25 September 1984. Kebenaran mengamalkan kedua-dua ajaran Syiah itu sebenarnya akibat kecuaian dan kurangnya maklumat serta kefahaman mereka terhadap kesesatan dan bahaya Syiah yang pada ketika itu masih baru menjalar di Malaysia.
11. Saya tidak mahu mengulas panjang dalam surat ini mengenai perincian hukum kesesatan Syiah dan pengharamannya tetapi cukuplah saya menukilkan keputusan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1996 tersebut, di samping perbahasan ulama muktabar dahulu dan kini mengenai kesesatan Syiah yang termuat dalam ribuan kitab-kitab berbahasa Arab, Inggeris dan Melayu yang YB Datuk Seri boleh menelitinya sendiri.
12. Saya melihat kenyataan YB Datuk Seri selaku Presiden PAS di Dewan Tok Guru Rusila tempoh hari bersifat kontradiksi dengan kenyataan rasmi parti yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan olehHarakahdaily pada 28 Julai 2013 lalu. Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa tiada pimpinan utama PAS terlibat dengan Syiah. Ia antara lain turut menyebut bahawa: “Isu Syiah bukan isu politik kerana ia merupakan isu aqidah dan kefahaman terhadap ajaran Islam. Atas sebab itu, PAS memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakan isu ini untuk menyerang pihak lawan untuk keuntungan politiknya. PAS kesal dengan pelbagai tuduhan liar tidak berasas yang dilemparkan kepada parti. PAS menentang sebarang usaha untuk membawa fahaman Syiah ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan pelbagai polemik dan pertembungan dalam masyarakat yang mendedahkan negara kepada perpecahan di kalangan umat Islam. Ahli PAS mesti berpegang dengan ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika ada yang menganut fahaman Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari menjadi ahli PAS.”
13. Berkenaan kenyataan bahawa pimpinan dari Syiah pernah memberitahu YB Datuk Seri bahawa kebangkitan Islam mesti dipimpin oleh Sunni kerana 90 peratus dunia Islam hari ini merupakan pengikut Sunni, saya tidak hairan dengan perkara tersebut. Ini memandangkan amalan taqiyyah (menyembunyi pegangan mereka) sudah menjadi darah daging dan syariat yang wajib dilakukan oleh mereka untuk survival ajaran Syiah. Mereka biasa akan menzahirkan sesuatu ungkapan atau perilaku yang berbeza dengan kepercayaan yang mereka pegangi.
14. Kenyataan yang mengaitkan usaha Barat yang dipengaruhi Israel mengepung Mesir dan Turki untuk menghalang kemaraan Islam untuk menafikan usaha membendung ajaran Syiah juga tidak releven. Apabila kita membicarakan isu Sunni-Syiah kita sepatutnya merujuk kepada permasalahan dasar iaitu isu aqidah bukan semata-mata isu politik. Kewujudan Syiah yang bermula akibat pertikaian politik kini sudah berubah kepada perpecahan aqidah. Fakta sejarah membuktikan kelahiran kelompok Syiah itu sendiri adalah dari gerakan yang dipelopori seorang Yahudi munafiq yang berpura-pura memeluk Islam bernama Abdullah bin Saba’ dengan tujuan memecah-belahkan umat Islam di zaman Khalifah ‘Uthman Ibn ‘Affan r.a. Dari perpecahan yang tidak berkesudahan tersebut telah menimbulkan gejala takfir (mengkafirkan) di kalangan pengikut Syiah kepada para isteri dan sahabat Nabi r.a. Pelbagai unsur syirik, bid’ah dan khurafat dipegang oleh ulama Syiah dahulu dan kini telah mewajarkan mereka untuk dijatuhkan hukum kafir dan bukan lagi dari tergolongan dari kalangan orang Islam.
15. Sepatutnya apabila isu Sunni-Syiah ini dibangkitkan, pandangan yang diutarakan oleh YB Datuk Seri perlu mengaitkan dengan isu di Syria dan Iraq. Adapun mengaitkan Turki dan Mesir dengan polemik ini sebenarnya menjerat diri Syiah sendiri. Kejatuhan Presiden Dr. Muhammad Mursi adalah dimulakan oleh golongan Tamarrud (pemberontak) yang mana Syiah Mesirlah antara penggerak utama mereka.
16. Menurut laporan Ahram Online pada 1 Jun 2013, jurucakap Syiah Mesir, Bahaa Anwar memberitahu sejumlah 100, 253 rakyat Mesir berfahaman Syiah telah menandatangani kempen Tamarrud untuk menumbangkan Presiden Mursi. Sejak Mursi memegang tampuk pemerintahan Mesir, penganut Syiah mendakwa sentimen anti-Syiah semakin meningkat di negara itu. Sebelum kejatuhan pemerintahannya, Mursi dilihat lantang mengutuk keganasan di Syria dengan mengisytiharkan sokongan dan bantuan kewangan kepada pejuang Islam yang menentang Rejim Basyar Al-Assad. Beliau turut memutuskan hubungan diplomatik dengan negara sekutu rapat negara Syiah Iran dan pertubuhan Syiah Hizbullah itu seperti dilaporkan Ahram Online pada 15 Jun 2013. Rampasan kuasa tentera Mesir juga dikaitkan dengan kebimbangan pihak tentera kemungkinan Mursi akan menggunakan mereka dalam rancangan menyerang Syria.
17. Sementara Turki pula diketahui memang sepakat dengan Amerika Syarikat berhubung konflik di Syria. Dalam laporan Al-Jazeera pada 17 Mei 2013, ketika pertemuan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di White House, kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju supaya Basyar Al-Assad perlu berundur dan mereka akan meningkatkan tekanan ke pemimpin yang merupakan sekutu rapat Iran dan Hizbullah tersebut.
18. Merujuk kepada gesaan YB Datuk Seri supaya pihak yang berautoriti dari kalangan ahli-ahli agama dan ahli akademik membincangkan masalah Sunni-Syiah ini, saya fikir gesaan tersebut sepatutnya tidak timbul. Sudah banyak wacana ilmu, seminar dan diskusi ilmiah sama ada terbuka dan tertutup mengenai isu Sunni-Syiah ini telah berlangsung di negara kita. Nama-nama seperti Maulana Muhammad ‘Asri Yusuf (pengasas Darul Kautsar), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis), Ustaz Aizam Mas’ud (Penolong Pengarah JAKIM), Ustaz Mohamad Ismail (Ketua Unit Kajian Syiah ISMA), Ustaz Muhammad Nazmi Abdul Karim (pengajar di Ma'had Tahzib wa Ta'lim) dan ramai lagi adalah antara ahli agama dan akademik yang membincangkan isu ini sama ada secara terbuka mahu pun tertutup.
19. Perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala kenyataan YB Datuk Seri di Dewan Tok Guru Rusila seperti laporan Harakahdaily ialah isu Sunni-Syiah ini adalah agenda melemahkan umat Islam. Mereka yang membangkitkan kesesatan Syiah dan cuba membanteras pengaruhnya pula seolah-olah dianggap hanya dari kalangan orang jahil tentang ilmu agama. Lupakah YB Datuk Seri bahawa Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi yang dulunya menjuarai taqrib Sunni-Syiah telah mengubah pendirian apabila mengisytiharkan Syiah sebagai musuh umat Islam, dan Hizbullah pula digelarkan sebagai Hizbullaat? Adakah ulama besar yang disanjung oleh kepimpinan PAS sendiri ini juga terjebak dalam 'agenda lemahkan umat Islam'.
20. Gesaan Al-Qaradhawi untuk berjihad memerangi Syiah ketika himpunan di Doha, Qatar pada 1 Jun 2013 lalu turut disiarkan oleh stesen televisyen Al-Jazeera. Beliau turut mendoakan agar Iran dan Hizbullah dikutuk Allah, kerana merupakan pemimpin segala kejahatan. Ia merujuk pada tindakan kedua-dua pihak tersebut yang mendukung Basyar Al-Assad dan membunuh orang Sunni di Syria. Beliau mengakui selama ini telah tersalah langkah kerana pernah memberikan dukungan kepada Hizbullah dalam peperangan menentang Israel.
21. Dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Arabiya pada 9 Jun 2013, Al-Qaradhawi turut mengakui para ulama di Arab Saudi lebih mengetahui secara mendalam mengenai bahaya Hizbullah dan gerakan Syiah Iran berbanding dirinya. Beliau berkata: "Pada satu ketika saya pernah mempertahankan gerakan Hizbullah kerana keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Pendapat saya pada masa itu bertentangan dengan pandangan ulama-ulama tersebut. Mereka menentang Hizbullah. Namun setelah saya melihat apa yang dilakukan oleh Hizbullah terhadap saudara-saudara kita di Syria barulah saya sedar yang ulama-ulama di Arab Saudi lebih matang dan mempunyai pengetahuan cukup luas tentang Hizbullah dan Iran".
22. Al-Qaradhawi telah mengisytiharkan golongan Syiah sebagai golongan kuffar serta merupakan musuh umat Islam keseluruhannya. Kenyataan keras itu telah disebut oleh beliau dalam satu wawancaranya dengan stesen televisyen Al-Jazeera dalam rancangan ‘Asy-Syarii’ah wal-Hayaah’ (Syari'ah dan Kehidupan) pada 16 Jun 2013. Beliau berkata, golongan Syiah sebenarnya telah mengkhianati umat Islam dan perkara itu terbukti dengan pembunuhan saudara seaqidah di Syria bersama-sama dengan puak Hizbullah. Beliau berkata: "Jangan panggil mereka Hizbullah, mereka selayaknya digelar Hizbussyaitan dan Allah tiada kaitan dengan mereka. Saya menyeru seluruh umat melawan kuffar dan Syiah di dalam Hizbullah. Mereka ternyata kuffar tanpa sedikit keraguan. Mereka sedang menjalankan operasi etnik di Syria dengan tujuan membina negara Syria Barat di barat Syria".
23. YB Datuk Seri, saya sengaja meletakkan kenyataan-kenyataan Al-Qaradhawi bukan kerana saya taksub kepada beliau, sebaliknya kerana Al-Qaradhawi merupakan seorang tokoh ulama yang sangat berpengaruh dalam gerakan Islam termasuk PAS sendiri. Al-Qaradhawi juga terkenal sebagai ulama Sunni yang dahulunya bersungguh-sungguh berusaha berdamai dan mendekatkan antara Sunni-Syiah. Malah usaha taqrib Sunni-Syiah oleh Al-Qaradhawi selalu dijadikan hujah dan contoh oleh ulama-ulama Sunni di negara ini yang mesra dan pro-Syiah termasuk YB Datuk Seri sendiri.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.
24. Saya ingin menegaskan bahawa saya sebagai salah seorang dari pemuda Ahlus Sunnah Wal Jamaah sesekali tidak akan membenarkan sebarang usaha penyebaran Syiah atau pengamalannya di Malaysia. Sesungguhnya bahaya dan bencana yang amat besar akan menimpa negara ini di masa hadapan, sekiranya ajaran Syiah dibiarkan merebak tanpa sekatan. Cukuplah umat Islam yang dominannya tidak sebesar mana ini berpecah dari segi ideologi politik kepartian. Janganlah pula selepas ini kita yang hanya berjumlah 61.3 peratus dari warganegara Malaysia semakin dipecahkan antara Sunni dan Syiah sehingga berlaku pertumpahan darah dan saling berbunuhan, yang akhirnya menyebabkan Islam hilang kekuatannya di tanah air.
Akhir kalam saya ingin memohon maaf sekiranya surat terbuka saya ini menyinggung perasaan YB Datuk Seri. Sekiranya terdapat sebarang kesalahan fakta atau kekeliruan dalam tulisan saya ini, saya berharap YB Datuk Seri sudi memperbetulkan dan membuat pencerahan terhadapnya. Apapun saya percaya atas prinsip keterbukaaan dalam kepimpinan, YB Datuk Seri sedia menerima pandangan dari orang kebanyakan seperti saya ini. Saya menutup surat ini dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ " ، قَالَ رَجُلٌ : إِنَّ الرَّجُلَ ، يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا ، وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ، قَالَ : إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan seumpama biji sawi.” Seorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya ada seseorang yang menyukai supaya bajunya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu indah, Dia menyukai keindahan. Kesombongan itu menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain.” [Hadis Riwayat Muslim]
Sekian, terima kasih.
*SAMPAIKANLAH DARI NABI WALAUPUN SATU AYAT *
(IBNU HUSSIN AL KELANTANI)
*Surat ini telah dihantar kepada Presiden PAS
0 komen:
Post a Comment