Sejarah kepada pendaftaran kelahiran dan kematian di negara ini sebenarnya mempunyai kisah yang cukup panjang.
Berdasarkan sejarah, rekod kelahiran, kematian, perkahwinan serta penceraian telah dicatat secara rasmi sejak zaman penjajahan Portugis di Melaka pada 1511.
Tindakan itu diteruskan Belanda di Melaka namun tiada undang-undang bertulis berkaitan pendaftaran sivil direkodkan sebelum 1868.
Sejak 1886 ketika di bawah pemerintahan Inggeris, Negeri-negeri Selat bermula dengan Pulau Pinang, Melaka, Singapura dan Dinding (Manjung, Perak) telah mencatatkan kelahiran dan kematian di dalam buku lejar dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Seterusnya, Negeri-negeri Selat berserta Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu mengeluarkan daftar kelahiran yang berbeza rupa.
Bagi daftar kelahiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu, segala maklumat ditulis dalam bahasa Inggeris dan tulisan jawi sementara daftar kelahiran Negeri-negeri Selat pula menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi.
Daftar kelahiran itu terus kekal sebagai pengenalan diri rakyat negara ini sehinggalah pihak Inggeris menerusi Peraturan Darurat 1948 memperkenalkan kad pengenalan bagi membendung ancaman komunis.
Kad itu diperbuat daripada kertas tanpa dibaluti plastik. Antara ciri yang ada padanya adalah gambar hitam putih, cap ibu jari kanan serta butir-butir asal penduduk tanpa sebarang maklumat mengenai kewarganegaraan.
Begitu pun, di kalangan rakyat, kad tersebut lebih popular dengan nama kad beras berbanding kad pengenalan. Sebabnya, mereka perlu menunjukkan kad tersebut setiap kali untuk membeli beras.
Tujuannya kerana British tidak mahu bekalan makanan terlepas ke tangan pengganas komunis pada waktu darurat.
Selari dengan peredaran semasa, Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi sistem pengeluaran kad pengenalan.
Selaras dengan itu, Kad Pengenalan Plastik (KPP) dikeluarkan bermula 1 Ogos 1960 di Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan kegunaannya ke Sarawak pada 30 Mac 1966 dan Sabah pada 1 Jun 1972.
Selain ditambah baik dari segi daya ketahanan termasuk tidak mudah basah dan koyak, kad tersebut mempunyai cap ibu jari kiri dan kanan berserta maklumat yang lebih terperinci.
Selain itu, menerusi KPP inilah bermulanya empat warna kad yang menentukan taraf kewarganegaraan seseorang iaitu biru untuk warganegara Malaysia, merah untuk pemastautin tetap dan hijau bagi pemastautin sementara.
Satu lagi warna iaitu coklat dikeluarkan untuk bekas banduan. Bagaimanapun, kad pengenalan coklat kini tidak lagi dikeluarkan bagi mengelakkan diskriminasi terhadap golongan berkenaan.
30 tahun berlalu, Malaysia seperti negara-negara lain mula berjinak-jinak dengan pengkomputeran data. Seiring dengan itu, kad pengenalan bermutu tinggi diperkenalkan dengan nombornya juga adalah unik bagi setiap individu.
Pada mulanya gambar yang digunakan hanyalah hitam putih sebelum digantikan dengan foto berwarna bermula 1997 sehingga 2000.
Seterusnya, kad pengenalan bermutu tinggi digantikan pula dengan kad pintar bercip. Kad tersebut mampu memberi pelbagai maklumat selain mempunyai pelbagai aplikasi seperti touch n go, kad bank dan sistem pembayaran elektronik Malaysia (MEPS).
Dan kini, rata-rata rakyat Malaysia sudah bertukar kepada Mykad yang baharu. Diperbuat daripada bahan polikarbonat yang tahan lasak, kad tersebut menggunakan teknologi turisan laser pada permukaannya selain dilengkapi perlindungan anti salinan bagi mengelakkan pemalsuan.
Itu bermaksud, jika anda menggores gambar atau nombor Mykad tersebut untuk dipalsukan, anda pasti tidak akan berjaya turisan laser tersebut sampai berada di setiap lapisan Mykad berkenaan sehingga ke bahagian terakhir.
Namun, masih ramai yang belum bertukar kepada Mykad baharu tersebut menyebabkan Mykad lama tidak boleh terus dihapuskan sekali memberi ruang kepada golongan tertentu untuk mengeluarkan Mykad palsu
0 komen:
Post a Comment