Recent Posts

Visit http://www.ipligence.com

Monday, November 4, 2013

Pengiktirafan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, Para Ulamak Terhadap Asya'iroh :



Semoga Allah SWT menemukan kita dengan golongan yang selamat:

Terdapat hadis sahih yang telah menceritakan kebenaran pegangan Imam al- Asy`ari yang mana beliau adalah cucu kepada seorang sahabat nabi iaitu Abu Musa al-Asy`ari, ketika turunnya ayat ini:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa antara kamu murtad dari agamanya, maka Allah akan datangkan suatu kaum yang dicintai oleh Allah dan mereka pula mencintainya, yang bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang kafir. Mereka berjihad(berjuang bersungguh-sungguh) pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah maha Luas limpah kurniaan-Nya, lagi Maha Mengetahui”.

(Surah Al-Maidah : 54)

Al-Hafiz Ibn `Asakir meriwayatkan dalam kitabnya Tabyin Kadzibi Al-Muftari dan al-Hakim meriwayatkan dalam kitabnya al-Mustadrak sebab turun ayat di atas:

"لَمَّا نَزَلَتْ: {فَسَوْفَ يَأْتِي اللهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبٌّونَهُ} قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (هُمْ قَوْمكَ يَا أَبَا مُوسَى) وَأَوْمَأَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِي".

Maksudnya:

“Tatkala ayat {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه} turun, lalu Rasulullah sallallahhu`alaihi wasallam bersabda: “Mereka kaummu wahai Abu Musa”, dan Rasulullah sallallahhu`alaihi wa-sallam menunjukkan dengan tangan baginda kepada Abu Musa al Asy`ari”.

Al-Hakim menghukumkan hadis di atas sebagai hadis sahih `ala Sahih Muslim. Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Ibn Abi Hatim, Ibn Sa`d dalam kitabnya al-Tabaqat al-Kubra dan al-Tabrani dalam kitab al-Mu`jam al-Kabir. Al-Hafiz al-Haithami berkata dalam kitabnyaMujma’ al--Zawa’id bahawa rijal hadis tersebut rija al-shahih.

Al-Imam al-Qurtubi berkata dalam kitab tafsirnya jilid. VI, halaman. 220: “Imam Al-Qushayri berkata:

“Maka para pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan di dalamnya oleh suatu kaum kepada seseorang nabi maka maksudnya ialah para pengikut”.

Berkaitan dengan hadis yang semakna dengan hadis di atas iaitu dengan lafaz (هم قوم هذا) yang mafhumnya: “Mereka adalah kaum lelaki ini” sambil Nabi sallallahu`alaihi wasallam mengisyarat tangannya kepada Abu Musa al-Asy`ari." Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
"هم قوم هذا".
Mafhumnya:

"Mereka adalah kaum orang ini." 

[Diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak]

Oleh yang demikian, hadis ini adalah busyra (berita gembira) bagi seluruh pengikut Al-Asy`ariyyah dan Al-Maturidiyyah bahawa mereka sesuai dengan aqidah Rasulullah, maka berbahagialah orang yang sentiasa mengikuti jalan mereka. Aqidah Al-Asy`ariyyah dan Al-Maturidiyyah adalah aqidah kaum muslimin dari kalangan al-Salaf dan al-Khalaf, aqidah para khalifah dan Sultan seperti Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Muhammad Al-Fatih.

Al-Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda tentang Abu Musa Al-Asy`ari dan kaumnya.

Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:

"هم مني وأنا منهم".
Mafhumnya:
"Mereka dariku dan aku dari mereka". 

(Diriwayatkan oleh Al-Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari : Kitab Al-Maghaziy, Bab Quduum al-Asy`ariyyun Wa Ahlal-Yaman (bab kedatangan al-Asy`ariyyun dan orang Yaman). 

Para pengikut Asy’ari (asya’irah) adalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk. Mereka adalah ahlus sunnah yang menentang kezhaliman mu’tazilah. Mereka adalah seperti yang disampakan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taymiyyah, “Ulama adalah penolong ilmu agama, sedangkan para pengikut Asy’ari adalah penolong-penolong pokok agama (ushuluddin/aqidah).” (sumber: Al-Fatawa Juz IV)

Al Hafiz Murtadha Al Zabidi (W. 1205 H) telah berkata:

"إِذَا أُطْلِقَ أَهْلُ السُّنَّة وَالْجَمَاعَةِ فَالْمُرَادُ بِهِمْ الأَشَاعِرَة والْمَاتُرِدِيَّة".

Maksudnya:
“Apabila disebut Ahlu Sunnah Wal Jama`ah maka yang dimaksudkan dengan mereka ialah Al Asya`irah dan Al Maturidiyyah” (Kitab Itthaf Sadat al- Muttaqin, jilid 2, m/s 6.)

Dalam penafsiran firman Allah di atas: (Maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia cintai dan kaum tersebut mencintai Allah) QS. Al-Ma’idah: 54, al-Imam Mujahid, murid sahabat ‘Abdullah ibn ‘Abbas, berkata: “MEREKA ADALAH KAUM DARI NEGERI SABA’ (YAMAN)”. 

Kemudian al-Hafizh Ibn ‘Asakir dalam Tabyin Kadzib al-Muftari menambahkan: “Dan orang-orang Asy’ariyyah adalah kaum berasal dari NEGERI SABA’” (Tabyin Kadzib al-Muftari Fi Ma Nusiba Ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy’ari, h. 51).

Imam Ibn Rusyd Al-Maliki ketika ditanya tentang Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah, maka beliau menjawab:

"Mereka adalah yang dinamakan sebagai imam-imam yang menjadi ikutan, di mana dengan mengikuti mereka, merupakan suatu kwajiban kerana mereka membela syariat (bahkan aqidah Islam), membatalkan kesesatan fahaman yang songsang…Tiada siapa yang menyesatkan mereka melainkan dia adalah seorang yang jahil ataupun seorang ahli bid'ah. (Al-Fatawa 2/802)

Imam As-Safarini menegaskan bahawa, ahlus sunnah adalah: golongan Athariyah (pelopornya ialah Imam Ahmad r.a.), golongan Al-Asya'irah dan golongan Al-Maturidiyah. (lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah: 73)

Menurut Imam Tajuddin As-Subki, majoriti ulama’ mazhab As-Syafi’ie, Malikiyah, Hanafiyah dan Sebahagian ulama’ Hanabilah bermazhab Al-Asy’ari. Demikian diriwayatkan daripada Imam Izzuddin bin Abdil-Salam yang turut diakui oleh Imam Abu Amr ibn Hajib dan Jamaluddin Al-Husairi. (At-Tobaqot 3/365).

Imam Ibn Asakir berkata "Mereka golongan Asya'iroh berpegang dengan al Quran dan As Sunnah, menjauhi faktor-faktor yang membawa kepada fitnah, yang tetap kuat bersabar dalam mempertahankan agama mereka, mengalahkan musuh-musuh dengan kekuatan bantuan dan hujah dan tidak pernah meninggalkan berhujah dengan Al Quran dan hujah-hujah dari hadith, tidak juga menggunakan akal sebebas golongan Qadariyyah dan Mu'attilah (menafikan terus sifat Allah), tetapi mereka menggabungkan penggunaan dalil naqli dengan akal, lalu menjauhi manhaj muktazilah dan menolak manhaj mu'attilah, bahkan menolak kejumudan golongan mujassimah musyabbihah, lalu membongkar kesesatan fahaman ahli bid'ah dengan dalil-dalil yang nyata. 
Mazhab mereka adalah mazhab pertengahan, masyrab (asas) mereka adalah sebaik-baik asas, kedudukan mereka adalah sebaik-baiknya (berbanding golongan bid'ah) dan darjat mereka adalah setinggi-tinggi darjat, yang mana mereka tidak pernah tercela dengan celaan orang yang mencela atau direndahkan oleh orang yang mempertikaikan". [dalam Tabyiin Kazb Al Muftari (397)]

Kredit : Mari Kenali Ulama

0 komen:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More