Recent Posts

Visit http://www.ipligence.com

Thursday, August 21, 2014

Madad Ya Rasulullah - Satu Penerangan

Mintak tolong dengan kawan pun boleh dikira syirik, kerana dah menyeru kepada selain allah? Fahami perbezaannya..

Oleh: al-Fadhil Ustaz Hauriyah Bin Qadah (Pengkaji di Markaz Imam Junaid, Persatuan Ulama Muhammadiyyah, Wujdah-Morocco)

Terdapat satu kelompok yang menuduh syirik/syubhah terhadap lafaz 'Madad Ya Rasulullah'. Jadi, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan syubhat pemikiran yang ditimbulkan oleh mereka ini. Di sini saya ingin mengongsi huraian dan penjelasan untuk menjawab tohmahan ini.

Banyak kekeliruan dan bahaya terjadi kepada orang awam yang jahil tentang istilah ahli sufi apabila mereka cuba untuk merungkai dan memahami kalimah-kalimah tersebut. kejahilan mereka berkenaan hal tersebut menyebabkan mereka susah untuk memahami kalam sufi dengan pemahaman yang mendalam, dan terkadang mereka melihat kata-kata tersebut bertentangan dengan nas-nas syariat dan hukum agama. Ketahuilah, sesungguhnya bagi setiap bidang ilmu itu ada istilah khas yang tidak dapat difahami melainkan bagi ahlinya.
Lafaz-lafaz yang digunakan oleh para sufi dalam percakapan mereka ini adalah suatu bentuk isyarat, kinayah dan majaz. Ia banyak terdapat di dalam bahasa Arab dan bukanlah perkara yang asing (dan sudah menjadi satu kewajipan untuk kita menguasai bahasa Arab bagi memahami perkara yang sedang dibincangkan ini). Bahkan kita dapat lihat dengan jelas di dalam Al-Quran juga terdapat kalam majazi, seperti firman Allah :

وأُشربوا في قلوبهم العجل[1]
واسأل القرية[2]
أو من كان ميِّتا فأحييناه[3]
dan ayat-ayat lain..

Sebahagian istilah tasawwuf digunakan sebagai kata pinjaman dan ibarat atau ungkapan bagi menggambarkan idrak mereka yang tidak dapat diterjemah dengan bahasa biasa. Oleh itu, orang yang ingin memahaminya hendaklah mendampingi mereka sehingga jelas baginya ungkapan mereka serta dia dapat mengerti isyarat dan istilah mereka. Seterusnya, dia akan menyedari bahawa ahli-ahli sufi ini tidak pernah keluar dari panduan kitab dan sunnah, serta tidak terpesong dari jalan syariat yang mulia, mereka itulah golongan yang arif akan perihal syariat ini, yang berdiri di atas hakikatnya, dan yang menjaga akan legasinya.

Berkata sebahagian para arifin: “Kami adalah suatu kaum yang diharamkan kitab-kitab kami dari diteliti oleh orang-orang yang bukan ahli dalam jalan kami.”[4]

Ini kerana tujuan pembukuan ilmu-ilmu ini adalah untuk menyampaikannya kepada ahlinya. Maka orang yang bukan ahlinya, tatkala menelaah kitab-kitab ini, mereka tidak memahami isi kandungannya, kemudian mereka menentang dan memusuhinya, kerana manusia itu memusuhi perkara yang dia tidak ketahui. Oleh hal yang demikian, berkata Sayyid Ali ibn Wafa rahimahullah: “Sesungguhnya orang yang membukukan ilmu makrifah dan asrar tidaklah dia membukukannya bagi sekalian manusia, bahkan jika dia mendapati orang yang menelaah kitab tersebut bukan dari ahlinya, sudah pasti dia menegah orang itu dari perkara tersebut.”[5]

Wajib diketahui bahawa kalam ahli sufi yang melarang pembacaan kitab-kitab mereka oleh orang awam bukanlah bertujuan menutup dan menyembunyikan ilmu, tetapi kerana ditakuti tersalah faham dan terjadi tafsiran yang menyalahi hakikat kata-kata itu. Maka sudah tentu orang awam itu akan mengingkari dan menyanggah kalam tersebut, inilah halnya orang yang jahil terhadap sesuatu ilmu. Larangan ini juga bertepatan dengan tuntutan agama agar mukmin yang ingin berbicara menyampaikan apa yang bersesuaian dengan tahap ilmu, kefahaman dan persediaan pendengarnya. Oleh sebab inilah Imam Al-Bukhari menyusun suatu bab khas di dalam kitab sohih beliau bertajuk:

باب من خص بالعلم قوما دون قوم كراهية أن لا يفهموا[6]

Antara mustholah tasawwuf yang mempunyai takwilan atau tafsiran yang benar dan bertepatan dengan syariat adalah kalimah al-madad (المدد). Ia sering terdengar di bibir para sufi, sering digunakan di dalam doa dan seruan mereka kepada Nabi Muhammad Shollallahu ‘Alaihi Wasallam.
Penentang para sufi berhujah dengan mengatakan bahawa kalimah ini bererti memohon pertolongan kepada selain Allah, dan tidaklah dibolehkan memohon bantuan serta meminta pertolongan melainkan kepada Allah. Sepertimana yang disabdakan oleh baginda Nabi :

إذا سألت فاسأل الله، وإذا استعنت فاستعن بالله[7]

Allah juga telah menerangkan di dalam Al-Quran bahawasanya segala bantuan adalah dari-Nya:

كلاًّ نمد هؤلاء وهؤلاء من عطاء ربك[8]

Sekumpulan manusia benar-benar tidak mengetahui bahawa pembesar-pembesar sufi itu, merekalah ahli tauhid yang sejati, yang memimpin tangan-tangan muridin agar dapat mengecapi kemanisan iman, dan kemurnian yakin.

Pertama sekali, untuk memahami kalimah madad, kita perlulah menelitinya dari sudut bahasa asal perkataan ini, iaitu bahasa arab. Makna kalimah madad berbeza berdasarkan niat orang yang menyebutnya. Tertulis di dalam lisanul Arab:

مددنا القوم: أي صرنا لهم أنصارا ومددا وأمددناهم بغيرنا[9]

Juga dinyatakan kata-kata Sibawayh di dalam kitab tersebut:

"المدد ما مدّهم به أو أمدّهم؛ والجمع أمداد، قال: ولم يجاوزا به هذا البناء، واستمدّه: طلب منه مددا، والمدد: العساكر التي تُلحق بالمغازي في سبيل الله.. والإمداد: أن يرسل الرجل للرجل مددا، تقول: أمددنا فلانا بجيش. قال الله تعالى: ﴿أن يمدكم ربكم بخمسة آلاف﴾. وقال في المال: ﴿أيحسبون أنما نمدهم به من مال﴾. وقال تعالى وعلا: ﴿وأمددناكم بأموال وبنين﴾. فالمدد ما أمددت به قومك في حرب أو غير ذلك من طعام أو أعوان...[10]

Dan perkara penting yang kita dapat fahami daripada takrif madad itu tadi, sesungguhnya madad yang bererti bantuan/pertolongan, berbeza maknanya apabila ia di sandarkan kepada Allah dan apabila disandarkan kepada makhluk (bantuan Allah/bantuan makhluk). Maka kalimat madad yang bermakna pertolongan dan bantuan ini, merupakan suatu perkara yang dianjurkan oleh syariat untuk dilakukan dalam kehidupan kita, firman Allah Taala:

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان[11]

Oleh itu, orang yang memohon bantuan dari orang lain tidaklah sama seperti permohonannya kepada Allah, kerana permohonan kepada makhluk itu dengan erti memohon bantuan dan kekuatan yang Allah kurniakan kepada orang tersebut.

Bagi menghilangkan kesamaran berkenaan kalimah madad, individu mukmin mestilah melihat sesuatu perkara di hadapannya dengan pandangan zahir dan pandangan hati.

Pandangan hati yang mengakui keesaan Allah meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang berkuasa mutlak atas segala-galanya, yang terjadi sesuatu kejadian kerana kehendakNya, dan tidak sama sekali mensyirikkanNya dengan Nabi atau wali atau selainnya.

Pandangan zahir yang Allah kurniakan pula digunakan untuk meneliti ‘sebab-sebab’ yang Allah jadikan ia sebagai satu sunnah yang mempunyai hikmah di dalam kehidupan.

Sesungguhnya, Allah Taala telah menetapkan tugas-tugas dan pekerjaan yang bersifat zahiriyyah dan batiniyyah/ruhiyyah bagi sebilangan manusia yang terpilih di atas muka bumi ini. Dia juga telah mengurniakan bantuan dan kekuatan nurani kepada golongan ini yang terdiri daripada para rasul, anbiya’ dan awliya’. Allah Taala telah membukakan bagi mereka rahsia-rahsia sehingga mereka teguh berdiri untuk membantu agamaNya, mengibarkankan panji-panjinya, dan mampu memberi bantuan kepada sesiapa yang mereka kehendaki dengan izin Allah.

Maka kita dapati para mukmin itu, mereka mengambil kira sebab-sebab terjadinya sesuatu, tetapi mereka tidak bergantung harap kepada sebab-musabab tersebut, dan tidak pula berkeyakinan terjadinya sesuatu semata-mata kerana ada ‘sebab’. Kerana jika seseorang yang melihat kepada sebab, dan dia berkeyakinan bahawa sebab itulah yang memberi kesan dengan sendirinya, bukan kerana kehendak Allah, maka dia telah mensyirikkan Allah dengan perkara tersebut. Dan jikalau dia melihat kepada Yang menjadikan sebab (Allah), tetapi pada masa yang sama dia tidak menghiraukan sebab, maka dia telah menyalahi sunnatullah kerana Allah Taala telah menjadikan sebab bagi setiap sesuatu. Oleh itu, mukmin yang sempurna kefahamannya, pasti akan memanfaatkan kedua-dua pandangan (pandangan hati dan pandangan zahir) yang dikurniakan kepadanya. Di sini disertakan beberapa contoh bagi menerangkan perkara ini:

Allah Taala ialah tuhan yang esa yang menjadikan manusia dengan kehendak dan kekuasaanNya. Namun Dia juga telah menjadikan sebab tabie bagi penciptaan manusia iaitu pertemuan suami isteri, terhasilnya janin, dan kelahiran. Inilah sebab-sebab tabie yang berlaku mengikut sunnatullah. Demikian juga Dia telah menjadikan mati mempunyai sebab iaitu malaikat maut. Apabila kita melihat kepada Yang menjadikan sebab, maka kita katakan: Allah yang mematikan setiap yang bernyawa. Firman Allah: الله يتوفى الأنفس[12]
Dan apabila kita mengatakan: “si fulan telah dicabut nyawanya oleh malaikat” tidaklah bererti kita mensyirikkan Allah, kerana pada ketika ini, kita memandang kepada sebab. Firman Allah:

قل يتوفاكم ملك الموت الذي وُكّل بكم[13]

Begitu juga halnya bagi isti’anah (minta pertolongan). Tatkala kita memandang kepada Yang menjadikan sebab maka kita katakan: إذا استعنت فاستعن بالله[14]. Dan apabila kita melihat kepada sebab maka kita katakan: وتعاونوا على البر والتقوى[15]. Kerana Allah sentiasa membantu hambaNya selama hamba itu membantu saudaranya. Mafhum hadis:
والله في عون العبد ما دام العبد في عون أخيه[16]

Oleh itu, tatkala seorang mukmin mengatakan kepada saudaranya: “bantulah aku untuk mengangkat barangan ini”, tidaklah dia terjerumus ke lembah syirik, dan tidak juga bererti meminta pertolongan kepada selain Allah. Ini kerana orang yang beriman memandang dengan kedua-dua matanya, mata hati yang memandang Allah, tuhan yang menjadikan sebab, dan mata zahir yang memandang sebab sesuatu kejadian. Maka setiap orang yang mendakwa mukmin yang meminta pertolongan itu tadi kafir, merekalah golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Memohon bantuan atau madad adalah perkara yang makruf di dalam Islam, Al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali telah berkata: “Sesungguhnya jika dimasukkan sekumpulan mukmin ke dalam neraka, maka Allah Taala dengan keagungan dan kerahmatanNya, Dia akan menerima bantuan syafaat terhadap mukmin itu, sama ada syafaat tersebut dari para nabi, siddiqin, ulama’ atau solihin. Bahkan setiap hamba yang mempunyai kedudukan di sisiNya, dan baik hubungan dengan tuhannya, boleh memberikan syafaat kepada ahli keluarga, kaum kerabat, teman serta orang yang dikenalinya. Oleh itu, jadikanlah dirimu sebagai orang yang bersungguh-sungguh mencari syafaat di sisi mereka.”[17]

Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim telah berkata: “Sesungguhnya memohon doa atau syafaat dari orang yang masih hidup atau roh orang yang telah meninggal dunia adalah suatu permintaan yang bersifat ubudiyyah kepada Allah. Dan ia dibolehkan di dalam Islam. Meminta pertolongan daripada orang yang masih hidup bererti memohon doa, nasihat dan petunjuk, serta mengambil berkat darinya. Manakala memohon bantuan dari orang yang telah mati pula bererti meminta pertolongan dari ruhnya yang hidup di alam barzakh, yang boleh mendengar kata-kata manusia yang masih hidup, yang dikurniakan kepadanya keistimewaan dan diberikan apa yang diingininya.”[18]

Maka makna madad (mohon bantuan) dengan yang telah wafat ialah bertawasul dan memohon syafaat agar ditunaikan hajat dengan keberkatan darjatnya di sisi Allah, serta memohon dikurniakan pertolongan dari Allah. Firman Allah:

وللآخرة أكبر درجات وأكبر تفضيلا[19]

Dan tawasul pula bukanlah bererti bertawasul dengan zat seseorang yang terbentuk dari ketulan-ketulan daging dan darah, akan tetapi ia bermaksud bertawasul dengan amal kebaikan orang tersebut. Dan amal kebaikan seseorang itu senantiasa bersama ruhnya dan menjadi bekalannya sama ada ruh itu masih di badan atau telah menetap di alam barzakh.[20]

Maka tidaklah hanya dengan lafaz al-madad itu sahaja boleh menjadi tiket untuk mengkafirkan seseorang yang telah melafazkan dua kalimah syahadah. Kerana masalah keimanan seseorang bukan hanya dilihat dari luaran, bahkan wajib juga diteliti pada niat dan i’tiqadnya.

Dan perihal niat dan i’tiqad tidak boleh sama sekali dihakimi dengan sangkaan atau zhon. Firman Allah :
يَا أيها الذين آمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم[21]

Inilah prinsip ahli-ahli sufi berkenaan masalah keimanan. Ia adalah intisari dari hadis Nabi Shollallahu ‘Alaihi Wasallam tatkala Nabi mengingkari perbuatan Ibn Abi Syaibah yang telah membunuh seorang lelaki di dalam peperangan setelah dia mengucap kalimah syahadah, ini kerana pada sangkaannya (radhiyallahu ‘anhu) lelaki tersebut mengucap kerana takut dibunuh.

فلما سمع به رسول الله صلى الله عليه وسلم، قال له: أقال لا إله إلا الله وقتلته؟ قال: يا رسول الله إنما قالها خوفا من السلاح. قال: أفلا شققت عن قلبه حتى تعلم أقالها أم لا، فما زال يكررها عليه حتى تمنى لو أنه أسلم يومئذ[22]

Firman Allah Taala yang menceritakan kata-kata malaikat Jibril kepada Maryam:

قال إنما أنا رسول ربك لِأَهَبَ لَكِ غلاما زكيّا[23]

Di dalam ayat tersebut malaikat Jibril menisbahkan pemberian anak tersebut kepada dirinya sedangkan hakikatnya yang memberi pemberian tersebut adalah Allah. Firman Allah:

إِن تتوبا إِلَى الله فقد صغت قلوبكما وإن تَظَاهَرَا عليه فإن الله هو مولاه وجبريل وصالح المؤمنين والملائكة بعد ذلك ظهير[24]

Di dalam tafsir At-Thobari diterangkan bahawa Allah, Jibril, para mukmin yang soleh serta para malaikat adalah pembantu (yang membantu) Rasulullah bagi menghadapi orang-orang yang menyakiti dan ingin berbuat jahat terhadap baginda.[25] Ayat ini adalah nas yang sorih yang membolehkan memohon pertolongan dari Jibril, para malaikat, ulama’ dan para mukmin yang soleh. Selain itu, terdapat juga hadis yang menyokong kenyataan ini:

ما روي عن ابن عباس -رضي الله عنهما- أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "إن لله ملائكة في الأرض سوى الحفظة يكتبون ما يسقط من ورق الشجر، فإذا أصاب أحدكم عرجة بأرض فلاة فليناد أعينوا عباد الله"[26]

وقد ثبت أن رجلا أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال له: أريد مرافقتك في الجنة، فقال عليه الصلاة والسلام: "أعِنّي على نفسك بكثرة السجود."[27] أي العبادة

Inilah dalil-dalil yang menetapkan bahawa memohon bantuan (madad) dari Allah melalui perantaraan hamba-hambaNya yang soleh serta wali-waliNya yang muttaqin adalah perkara yang dibolehkan lagi disyariatkan. Dan kesemua ini bergantung kepada niat dan i’tiqad seseorang. Wallahua’lam.

Tamat.




sumber

0 komen:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More