Beberapa persoalan timbul
apabila kami utarakan pandangan kami tentang polemik tahlil yang jadi viral
semalam. Sangat menyedihkan apabila ada golongan yang nampak warak ala-ala
ustaz tetapi komennya sudah macam keyboard warrior yang bertatoo dan lucah.
Kami terpaksa beri teguran
kepada seorang dua yang nampak jelas tidak berakhlak, meroyan tak tentu hala.
Tidak kiralah siapa pun dia dan setinggi mana pun ilmunya. Mungkin juga beliau
sentap kerana dia terlibat dengan kerja menjual agama atau 'pindah pahala'.
Nampak sangat beliau tak baca artikel apabila dengan jelas buat kesimpulan
MELULU bahawa “Warga Prihatin menolak tahlil”. Beliau komen semasa SHARE
artikel ini di wall sendiri sehingga boleh menimbulkan fitnah. Jenis manusia
pencuri ilmu begini adalah perosak agama. Tidak akan berkat ilmunya bahkan
terlaknat dan jatuh durhaka.
Padahal ada kami nyatakan
dengan jelas dalam kesimpulan artikel itu bahawa ini bukan ibadah khusus. Jadi,
jangan sewenang-wenang melabel itu dan ini. Kami sendiri masih melakukannya
sebagai sarana tarbiah kepada anak-anak. Lagipun semua bacaan dalam tahlil
adalah yang baik-baik belaka. Yang tidak baik ialah apabila ia dijadikan
sebagai ritual wajib tanpa penjelasan dan tarbiah.
Kami jelaskan juga bahawa
acara tahlil arwah malah boleh jadi haram jika disertai dengan pelbagai maksiat
dan khurafat. Antaranya bila ada unsur memakan harta anak yatim, percampuran
bebas lelaki perempuan, pemujaan atau buat air jampi untuk di curah di kubur
atau ubat penawar. Sesetengah tempat malah ada bakar kemenyan sewaktu tahlil.
Penjelasan tambahan ini
untuk menjawab soalan dari anak-anak soleh yang bertanya benarkan usaha mereka
untuk arwah ibubapa akan jadi sia-sia?
GEJALA JUAL AGAMA DENGAN
'TRANSFER PAHALA'
Umum tahu bahawa dewasa ini
ramai ustaz-ustaz yang ambil kesempatan dengan kejahilan umat. Ada yang
dikatakan menyimpan stok 'pahala zikir’ yang sekian-sekian banyaknya untuk
ditransfer kepada si mati. Semua itu akan dipindahkan macam akaun bank mengikut
kadar bayaran yang beribu ringgit. Ajaran siapakah ini? Mengapa kita sanggup
diperbodohkan sampai sejauh ini?
Selain dari itu, kita lihat
begitu banyak produk berjampi dijual merata-rata. Air mineral, kismis, kurma,
kayu koka, siwak dan entah apa-apa lagi semuanya di jampi dan dijual dengan
harga yang lumayan. Pelbagai penyakit pelik-pelik ‘dicipta’ untuk membuka
peluang business menjual agama. Beberapa kisah berikut ini mungkin boleh
membuka minda kita…
KES 1: Seorang penagih
dadah tegar yang sudah 16 tahun menagih pernah diserahkan kepada RPWP untuk
dipulihkan. Keluarga bertanya berapa upahnya? Kami jawab upah apa? Kami tidak
ada jampi mentera, kami juga tak guna ubat kimia, lalu apa yang nak kami caj?
Cuma sebagai manusia jika ada hati perut hulurlah sedekah semampunya untuk
belanja makan minum dan semua keperluan asas anak itu. Alhamdulillah penagih
tegar itu berjaya juga dipulihkan.
Sebenarnya keluarga itu
terkejut kerana mereka baru pulang dari sebuah pusat rawatan yang dikendalikan
oleh seorang ustaz. Untuk rawatan cara Islam selama 2 minggu, beliau kena bayar
RM9,000 tunai secara up-front. Bila ditanya boleh jamin baik ke penagih ini?
Jawab ustaz itu, tidak..!
KES 2: Seorang anak autism
yang diserahkan kepada kami telah dirawat oleh ustaz. Anak itu jelaskan apa yang
ustaz itu buat. Dalam badan anak itu dikatakan ada 4 orang saka / jin lalu
ustaz keluarkannya dan masuk dalam botol. Tapi sebentar anak itu kata saka tu
masuk balik ikut dia. Mungkin ustaz tu tak tutup rapat botol yang mengurung jin
tu agaknya.
Kami hanya gunakan furqon
dari ayat-ayat Allah yang difahamkan ke minda anak ini untuk mengeluarkan saka
yang di’tanam’ oleh ustaz itu tanpa sebarang jampi mentera. Kami cuma minta
anak itu baca al-quran dengan makna dan kami jelaskan sedikit sebanyak. Kami
apit anak itu sehari-hari, bawa dia ke sekolah alam dan menyertai perbincangan
syuro harian secara dewasa. Dengan itu mindanya kembali ke alam nyata.
Alhamdulillah tidak berapa hari ‘saka’ beliau tak wujud lagi.
KES 3: Pada satu petang
pengetua kami yang dipanggil AYAH bertandang ke rumah jiran. Tanpa sengaja
didapati isteri jiran itu sedang dirasuk mahluk halus kononnya. Sambil
terbaring, dia menjerit meronta-ronta lalu dipegang kemas oleh 6 lelaki gagah
termasuk suaminya. Habis terburai terselak semua kain dan bajunya. Aurat
terdedah oleh pandangan mata dan sentuhan tangan.
Hampir 10 minit ayah
memerhatikan drama itu dari muka pintu sementara mendapat peluang bertentang
mata dengan si pesakit. Dapatlah dilihat gaya fasik dengan suara yang
diubah-ubah. Sebaik sahaja dapat menatap anak mata pesakit itu, dia tiba-tiba
jadi lemah dan terus sedarkan diri. Ayah kata dia tak baca apa-apa pun. Cuma
dia seru dalam hati, ini semua penyakit mental, mengarut punya drama.
KES 4: Seorang pesakit
mental mengadu diganggu jin dan bunian. Dia mengatakan telah berkahwin dengan 8
lelaki bunian. Turut diberitahu tempat di mana dia ‘bersenggama’ dengan bunian
itu. Sudah banyak kali dapatkan rawatan dan jampi dari ustaz tapi tidak
‘menjadi’.
Akhirnya dikesan beliau ada
masalah dengan suaminya selama bertahun-tahun. Keperluan ‘biologi’
kewanitaannya tidak dipenuhi. Akhirnya beliau ‘mencipta’ alam rumahtangga yang
tersendiri untuk memuaskan nafsu secara ilusi. Puncanya kerana beliau telah
terlalu jauh mengabaikan rumahtangga. Sudah bersuami tapi masih berkeliaran
dengan pelbagai aktiviti di luar sehingga suaminya mencari wanita ‘ganti’ dan
menjauhkan diri.
KES 5: Ada seorang janda
berhias yang agak ‘gersang’ telah diperdaya oleh seorang bomoh Indonesia.
Berbulan-bulan beliau izinkan bomoh itu ‘tidur serumah’ macam suami isteri.
Perniagaan dan kereta beliau juga diserahkan kepada bomoh itu dengan alasan
almarhum suaminya sudah izinkan melalui mimpi. Bomoh itu juga diizinkan membawa
dan ‘menyimpan’ anak gadisnya (anak yatim) ke tempat lain selama 2 minggu.
Kononnya untuk merawat penyakit ‘ganjil’. Ironinya semua itu diketahui oleh
keluarga dan wali sijanda tanpa curiga atau usaha untuk mencegahnya.
Moral penceritaan ini
merujuk kepada meluasnya gejala khurafat melibatkan kes menjual agama. Akhirnya
ia merosak diri dan generasi. Semuanya melibatkan orang yang ‘nampak warak dan
berilmu’ tetapi amat berkepentingan diri.
QS:69. Al Haaqqah 40-42.
"Sesungguhnya perkataan (Al Quran) itu adalah benar-benar wahyu Rasul yang
mulia, dan bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman
kepadanya. Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kamu
mengambil pelajaran daripadanya."
BEZA DOA DENGAN TRANSFER
PAHALA
Ramai yang keliru dengan
fenomena transfer pahala dengan doa terhadap si mati. Ada yang bertanya adakah
doa dan sedekah jariah dari anak yang soleh juga tidak sampai kepada si mati?
Ramai anak-anak yang sayangkan arwah ibubapa mereka jadi keliru dan agak sentap
dengan persoalan ini.
Berpeganglah kepada alquran
dan sunnah dengan kemas dalam isu ini. Sebelum itu kami ingin tegaskan
perbezaan yang nyata antara doa dan transfer pahala. Ia kelihatan serupa tetapi
jauh bezanya.
Persoalan adakah SAMPAI
PAHALA contohnya dari bacaan al Quran yang kita sedekah kepada si mati? Para
ulamak dari dahulu sampai sekarang masih berselisih tentang ini. Imam syafi’e
dan sebahagian muridnya mengatakan TIDAK SAMPAI. Sebahagian yang lain pula
berpendapat sedekah pahala tersebut SAMPAI kepada si mati. Ini akan kami
huraikan di bawah nanti.
Menyentuh DOA kepada si
mati, Allah sendiri menawarkan doa oleh hambanya. Dalam solat jenazah juga ada
doa. Al-Fatihah dan seluruh ayat-ayat quran juga membawa unsur doa / seruan.
Hadis juga menyatakan bahawa amal anak Adam akan terputus kecuali dengan doa
anak yang soleh. Namun perlu difahami bagaimana mekanisma doa itu berlaku agar
kita jadi lebih yakin. Kami berpegang dengan kemas hadis berikut ini,
Dari Abu Hurairah r.a.
bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati
putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi
manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim & lain-lain)
1. SEDEKAH JARIAH
Ini meliputi segala bentuk
sedekah yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuk juga harta yang
di waqafkan. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau, masjid, rumah
kebajikan, sekolah agama dan sebagainya. Selagi mana harta itu dimanfaatkan
selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Ini berbeza dengan fenomena
TRANSFER PAHALA kerana ianya bukanlah unjuran dari amal si mati sendiri sewaktu
hayatnya.
Waris juga boleh bersedekah
bagi pihak si mati. Tidak kiralah samaada sedekah itu milik waris, apatah lagi
jika ia harta peninggalan si mati. Yang pentingnya niat kita untuk bersedekah
bagi pihak si mati. Ini juga bukan tergolong TRANSFER PAHALA kerana ia
dilakukan berdasarkan kerelaan waris / anak yang soleh atas dasar DIDIKAN ILMU
yang dilakukan si mati sewaktu hayatnya.
2. ILMU YANG BERMANFAAT
Ilmu yang bermanfaat ialah
ilmu yang terkait dengan pembangunan agama Islam dan akhlak manusia, samada
secara langsung atau tidak. Iaitu ilmu yang bakal menjadikan seorang itu
menjadi lebih baik (ISLAH > SOLEH), samada melalui pendidikan, ceramah atau
penulisan. Selagi ilmu yang disampaikan masih diamalkan maka si mati akan
insyaAllah dapat ganjarannya.
3. DOA ANAK YANG SOLEH
Selain dari doa anak-anak
yang soleh/solehah terhadap ibubapanya, doa antara sesama kaum muslimin juga
insyaAllah bermanfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut:
“Dan orang-orang yang
datang kemudian berkata: “Wahai Tuhan kami, Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau
jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang
yang beriman. Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan
dan RahmatMu”. (QS: Al-Hasyr,10)
Mengenai doa anak yang
soleh, ada satu tafsiran yang unik namun kurang diketahui umum. Sebenarnya ia
tidak hanya merujuk kepada anak kandung, malah juga membawa maksud ANAK DIDIK
yang berjaya di’ISLAHKAN’ menjadi lebih baik (SOLEH) melalui aktiviti
pendidikan atau dakwah oleh para murabbi/ah. Ini menunjukkan bahawa Allah itu
adil kepada golongan yang tidak punya anak. Inilah juga yang kami tawarkan
kepada golongan ini selama ini agar tidak terlalu sedih atau prejudis kepada
Allah.
Hujjahnya, hadith di atas
telah menggunakan perkataan 'WALADUN SOLEH' yang bermakna ANAK SOLEH secara
umum. Ia tidak berbunyi 'BANIN SOLEH' yang membawa maksud ANAK KANDUNG. Ini
menjadi motivasi untuk menggalakkan kita memelihara anak angkat dan anak yatim
untuk dididik menjadi SOLEH.
Inilah kelebihan yang
dinikmati oleh TGNA dan ramai para da’ie atau murobbi pendidikan agama. Selain
dari kejayaan TGNA mendidik anak sendiri, lihatlah betapa ramainya kehadiran di
hari pengkembumian. Antara mereka adalah bekas pelajar madrasah dan pengikut
setia kuliah TGNA sepanjang hayatnya.
Inilah juga tarbiah yang
memberikan motivasi SAHAM AKHIRAT kepada murobbi/ah RPWP untuk berkorban
habis-habisan dalam MENDIDIK anak-anak jagaan kami. Mereka sanggup bekerja
tanpa gaji dan tanpa cuti. Setengahnya tiada anak kandung sendiri pun di RPWP.
Seorang dari kami tidak sempat berumahtangga lalu syahidnya tanpa meninggalkan
zuriat. Kami yakin doa anak-anak soleh yang dididik dengan basmalah dan penuh
kasih sayang ini akan dimakbulkan Allah. Apatah lagi doa anak-anak yatim dan
teraniaya yang sempat diselamatkan. Amat banyak dalil dari alquran dan hadith
tentang ini.
BERMANFAATKAH AMALAN
TAMBAHAN ANAK SOLEH UNTUK SI MATI?
Ada banyak isu yang terkait
dengan soalan ini. Sebenarnya hadith 'putusnya amal si mati' itu turut
menampakkan bahawa ganjaran dari AMALAN TAMBAHAN yang dilakukan oleh anak-anak
soleh hasil tarbiah si mati sewaktu hayatnya juga mampu dikongsikan oleh simati
tanpa mengurangi pahala pelakunya. Ia amat berbeza dari konsep TRANSFER STOK
PAHALA yang dijaja oleh peniaga agama kerana ia tiada kaitan langsung dengan
usaha si mati sewaktu hayatnya.
Antara bentuk amalan khusus
yang berkaitan dari anak yang soleh kepada si mati selain daripada doa ialah,
A. MEMBAYAR HUTANG PUASA,
SOLAT, HAJI SI MATI.
Dari `Aisyah r.a., bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang
puasa hendaklah walinya (membayar) untuknya". (Hadith Sahih - Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dari Ibn Abbas r.a.,
katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata:
"Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa
selama sebulan, bolehkah saya mengqadha’ puasanya itu?" Baginda menjawab:
"Boleh, hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan". (Hadith Sahih
- Riwayat Bukhari)
Hadith ini mengatakan
bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (samada puasa
Ramadhan, nazar atau kifarah) boleh dibayar oleh kerabatnya. Dalam hal ini Imam
Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi'i rahimahullah memberi dua pendapat
iaitu samada hutang puasa si mati dibayar dengan "FIDYAH" atau dengan
cara BERPUASA bagi pihaknya.
Namun begitu, Mazhab
Syafi’e lebih cenderung kepada kaedah FIDYAH. Ia juga boleh ditukar nilai
dengan wang kerana manfaatnya lebih luas untuk mampu membentuk lebih ramai anak
yang soleh. Demikian juga halnya dengan hutang solat dan haji.
B. MELANGSAIKAN HUTANG
'HARTA' SI MATI
Sebagai anak yang soleh,
kita juga boleh membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta yang
ditinggalkan si mati atas dasar kekerabatan. Apatah lagi jika si mati ada
meninggalkan harta dan pusaka yang banyak. Di sini pentingnya mempunyai anak
yang SOLEH dan amanah.
C. AMALAN BAIK & USAHA
DAKWAH ANAK YANG SOLEH
QS: 40. Al Mu'min 17.
"Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang
DIUSAHAKANNYA. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat
cepat hisabnya."
QS: 53. An Najm
38-41.”Bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, Dan
bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah
DIUSAHAKANNYA, Dan bahwasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan. Kemudian akan
diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna."
Ayat-ayat di atas
mengatakan bahawa kita HANYA DAPAT GANJARAN DARI HASIL USAHA SENDIRI. Amalan
baik termasuk sedekah yang dilakukan oleh zuriat atau anak didik yang SOLEH
adalah juga memperlihatkan HASIL USAHA si mati semasa hidupnya. Apatahlagi jika
ia bermodalkan ilmu dan harta peninggalan si mati. Persoalan ini turut terjawab
dengan hadis sahih di bawah:
"Sesungguhnya makanan
yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil TITIK PELUH sendiri.
Dan sesungguhnya ANAK adalah sebahagian daripada hasil usaha kita". (HR -
al-Hakim, At-Turmudzi, Ahmad, Abu Daud An-Nasai).
Dari Aisyah r.a, berkata:
“Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah, Ibuku
meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat, Tetapi aku menduga,
seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah
dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w
bersabda: Ya Benar” (HR:Muslim)
KESIMPULAN
Jika si mati mewariskan
anak-anak yang soleh / solehah, maka dia akan mendapat pahala hasil dari
kebaikan anak-anaknya yang diniatkan untuknya tanpa mengurangi pahala anak itu.
Tidak kiralah samada mereka itu anak kandung ataupun anak didik. Klausa pahala
yang diperolehi oleh si mati ialah dari USAHA mereka mematuhi perintah Allah
dalam MENDIDIK anak-anak SOLEH itu dengan ILMU yang bermanfaat. Lebih-lebih
lagi jika anak soleh yang dididik itu MENSEDEKAH / MEWAKAFKAN harta yang
ditinggalkan si mati padanya.
Sebaliknya jika kewajiban
mendidik anak-anak sendiri dengan ilmu yang bermanfaat itu tidak dilakukan
semasa hayat si mati lalu anak-anak itu terus menerus melakukan dosa, maka dosa
si mati ialah kerana TIDAK MENDIDIK anaknya itu (QS:4/9). Di atas dunia ini
juga akan di sebut-sebut kejahatan si anak atas nama ibubapanya. Kecualilah
jika dia telah melakukan tanggungjawab sebaiknya, namun anak-anak itu yang
DEGIL ataupun si anak telah terdidik dengan baik namun sepeninggalan si mati ia
TERPESONG. Dalam hal ini maka si mati tidak terbeban lagi. Contohnya adalah
pengalaman Nabi Noh a.s. sendiri.
TAHLIL ARWAH ini hanya isu
furu’ saja. Janganlah sampai jadi sengketa. Kami kongsikan semua cetusan ilmu
yang telah kami kaji dan laksanakan ini secara percuma untuk sama-sama kita
nilai dan dikembangkan. Ia hanya bagi menjawab pihak-pihak yang bertanya. Jika
yakin perkongsian ini benar, bolehlah sama-sama amalkan demi kebaikan generasi
akhir zaman ini.
Tidak sesiapa dipaksa untuk
menerima kerana kami bukan mufti yang berhak mengeluarkan fatwa. Namun jika
tidak bersetuju sila jaga adab anda dalam melontar maklumbalas. Sebaiknya
gunakan inbox. Jangan melabel, mencaci pihak lain dan berkokok tidak tentu hala
macam ayam jantan di ruangan komen. Itu hanya akan menampakkan SIAPA DIRI anda
yang sebenar.
Sedih juga melihat
ustaz-ustaz berserban yang nampak macam berilmu, namun mengeluarkan kenyataan
brutal, bongkak dan tidak beradab. Malu bila seorang yang berserban membawa
imej Islam berlagak sombong dengan mengeluarkan kenyataan… “inilah penulisan
orang jahil”. Seolah-olah ilmunya sahaja yang paling tinggi dan pasti. Mereka
kenalkah siapa kami? Berapa ramai ilmuan di kalangan kami? Sedalam mana rujukan
dan kajian kami? Sejauhmana pula tahap perlaksanaan dari setiap ilmu yang telah
kami kongsikan?
Lebih memualkan lagi
apabila golongan ini beralih mendebat hangit perkongsian dari komen pembaca
lain yang lebih bernas dan berhemah. Walhal, ribuan yang lain dilihat bersyukur
mendapat pencerahan dan input tambahan dari artikel itu. Ironinya, ada ustaz
yang mencarut dan menghina ini dikesan hanya melihat gambar atau membaca tajuk
dan tebuk-tebuk sahaja. Maka, komen yang bongkak itu juga jelas dibuat tanpa
ilmu kerana artikel penuh pun tidak dibaca.
Kesimpulannya, sama sahaja
akhlak buruk ilmuan agama yang berserban dengan keyboard warior yang bertatoo
dan lucah tapi ikut berkokok untuk komen soal agama. Sesama ustaz juga saling
menghujat dan ejek mengejek. Mereka ini perlu belajar adab bertalaqi dahulu
walaupun sekadar mengutip ilmu di alam maya.
Golongan seperti ini memang
akan kami ban. Mereka tidak diperlukan dan tidak layak berada dalam muzakarah
ilmu atas sifat-sifat togho yang melampaui batas. Biarlah sedikit jumlah
pembaca page ini asalkan berkat ilmunya dan tenang suasana muzakarahnya.
Kami kongsikan hasil kajian
yang telah kami laksanakan selama ini dengan percuma dan LILLAHBILLAH demi
dakwah Islamiyah. Kami tidak rugi ban mereka kerana bukannya kami berniaga atau
memaksa sesiapa untuk menerima.
WARGA PRIHATIN
0 komen:
Post a Comment