Recent Posts

Visit http://www.ipligence.com

Wednesday, March 20, 2013

Felda Sahabat Kini Dikenali Seluruh Dunia







Tidak dinafikan, secara tiba-tiba nama Felda Sahabat dikenali seluruh pelosok dunia sedangkan sebelum ini, tiada sesiapa pun mengetahui di mana letaknya pembangunan tanah rancangan Felda yang terbesar di Malaysia itu.

Walaupun aktiviti ekonomi di Bandar Cenderawasih yang berhampiran juga berjalan seperti sediakala, beberapa peniaga yang ditemui menyifatkan mereka mengalami kerugian harian sehingga 40 peratus sejak tercetusnya tragedi berkenaan.

Sahabat - sepatutnya membawa makna menjalin tali persahabatan. Tetapi sebaliknya, ia menjadi pintu masuk sekumpulan pengganas dari Kepulauan Sulu.

Bagi mereka yang kurang arif, pembangunan Felda Gugusan Sahabat pada tahun 1979 sebenarnya adalah atas semangat dan kekentalan kakitangan yang bertugas dan warga peneroka yang tidak pernah gentar sekalipun menyedari ia kawasan ancaman lanun.

Disebabkan kedatangan lanun, dua anggota polis bantuan Felda terkorban di Felda Sahabat 19 sekitar tahun 1980.

Dalam masa sama, peneroka-peneroka di tanah rancangan Sahabat tidak terkecuali menerima kesan daripada pencerobohan itu. Ini sebenarnya kali pertama mereka berhadapan dengan situasi mencabar sedemikian sejak memasuki tanah rancangan tersebut, lebih 20 tahun lalu.

Bandar Sahabat yang tenang sebelum ini, kini bertukar seperti sebuah markas tentera. Dahulu, jika bermalam di resort ini, kita bolih bermundar-mandir di persisiran pantai menunggu matahari terbit di ufuk timur seawal pukul empat pagi. Pemandangannya sangat cantik dan pulau paling hujung akan kelihatan seolah-olah balung ayam jantan.

Kini sudah berbeza, begitu juga beberapa kemudahan lain di sekitar Felda tersebut. Agak sepi jika tiada aktiviti dijalankan. Kolej Integrasi Ilmu Sahabat yang dahulunya hanya menjalankan kursus-kursus di hujung minggu, kini menjadi tapak pendaratan helikopter nuri dan hentian trak tentera.

Mujur, dengan kemudahan Felda yang lengkap dan berpusat, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi keselesaaan penduduk setempat dan pasukan keselamatan. Dewan badminton menjadi tempat penginapan tentera manakala dewan-dewan komuniti pula dijadikan pusat pemindahan sementara penduduk kampung berdekatan.

Kemudahan lengkap yang disediakan di perkampungan Felda juga termasuk akses Internet membolehkan penduduknya mendapat maklumat di hujung jari. Ini termasuk kisah tragedi pencerobohan di Lahad Datu. Malangnya, sumber maklumat yang dipaparkan khususnya di Internet makin hari semakin mengelirukan.

Sifat ingin tahu khususnya dalam kalangan warga belia tampak begitu mendalam. Penyebaran maklumat yang kurang tepat ini dibimbangi memburukkan lagi keadaan di Sabah pada ketika pihak keselamatan mencari jalan terbaik menyelesaikan konflik yang melanda.

Pengajarannya, jangan terlalu mempercayai khabar angin. Bagi yg belum sampai ke Lahad Datu, apa yang digambarkan di dalam kepala seolah-olah pekan Lahad Datu sudah bertukar menjadi padang jarak, padang terkukur, semua aktiviti terhenti akibat serangan pengganas Sulu.

Malangnya, sebaran di Internet yang bergerak lebih pantas berbanding media arus perdana juga menjadi antara faktor kenapa umum lebih memilih untuk mencari maklumat segera yang disebarkan melalui blog dan media sosial sedangkan tiada bukti kesahihannya.

Tragedi Lahad Datu seharusnya membuka mata kita tentang banyak perkara. Antaranya, komitmen, dedikasi dan semangat pasukan keselamatan kita dan tidak kurang juga betapa pentingnya menyalur mahupun memperoleh maklumat yang benar dan tepat.

Paling utama, jangan pula ada yang secara suka-suka menyebarkan khabar palsu dan membuat pelbagai khabar angin yang menggusarkan masyarakat yang hidup aman di negara ini. Mereka yang suka bercakap-cakap besar di Facebook atau Twitter pula dipersilakan datang dan lihat sendiri situasi di Lahad Datu sebelum komen ala keyboard warrior.

Bukan sahaja satria negara, rakan-rakan media juga sudah sebulan memerah keringat di sana, meningggalkan anak, isteri (mahupun suami) dan keluarga tersayang dalam menempuh bahaya demi tugas mencari maklumat yang tepat dan terkini buat paparan semua di luar sana.

Anggota tentera berjuang mempertahankan tanah air daripada pengganas, pemberita juga berjuang menentang khabar palsu dan cerita rekaan pihak tidak berakal khususnya di media-media sosial.

Ini bagi memastikan pembaca tidak terus membuat pelbagai spekulasi yang boleh menyebabkan huru-hara mahupun sesuatu yang akan memburukkan imej negara di persada dunia.

Oleh itu, cari dan hargailah maklumat yang benar dan tepat, jangan pula bersekongkol menyebar kisah palsu yang sensasi walaupun hanya untuk 'suka-suka', apatah lagi yang ada 'agenda'.

Kerana nila setitik rosak susu sebelanga, kerana khabar palsu porak peranda negara.

0 komen:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More