Suatu
hari sedang saya membersihkan halaman, lalu seorang penjual laksa beras,
menaiki motorsikal mengelilingi kampung. Oleh kerana matahari telah makin merendah selepas asar,saya pun
berhenti rehat. Apabila nampak penjual laksa beras lalu, saya pun memanggil
untuk merasa laksa berasnya.
Baru kira-kira satu bulan saya dan keluarga berpindah
ke kampung ini, bertugas sebagai inspektor menjaga parit dan saliran. Saya
melaung bertanya kepada isteri dan anak-anak, adakah mereka juga turut ingin
makan laksa beras. Isteri dan anak-anak 4 orang juga inginkan laksa beras.
Bermakna saya pesan 6 pinggan laksa beras. Dengan menggunakan ukuran mangkuk
standardnya laksa dihidang dalam mangkuknya dahulu sebelum dituang ke pinggan
yang pelanggan sediakan.
Zaman ini, kebanyakkan penjual laksa beras
bermotorsikal tidak perlu bawa banyak mangkuk atau plastik bungkus. Cukup
sebuah mangkuk yang dibawanya untuk jadi ukuran yang sama setiap pinggan yang
dipesan pelanggan. Semua yang membeli laksa beras perlu membawa pinggan atau
mangkuk sendiri ke motor pakcik jual laksa itu berhenti. Setelah membeli laksa
beras,pelanggan akan makan di dalam rumah masing-masing bersama keluarga. Cara
ini telah menyelamatkan alam sekitar, tidak ada pelupusan bahan plastik atau
pembaziran bekas.
Setelah membayar harga bagi 6 pinggan laksa beras, saya
melihat penjual itu membahagikan duit yang saya bayar kepada 3 tempat. Duit itu
di bahagi 3, 1/3 ke dalam dompet, 1/3 ke dalam laci duit dan 1/3 ke dalam bekas
seperti tabung. Melihat keadaan itu, menjadikan saya teruja ingin tahu kenapa
duit-duit itu diasingkan. Maka terus saya bertanya, “pak cik kenapa pakcik
asing-asingkan duit tersebut?” Pakcik itu pun menjawab, duit yang masuk dompet
digunakan untuk perbelanjaan perniagaan dan keluarga, duit yang masuk tabung
untuk simpanan penyempurnaan agama dan duit yang masuk laci untuk infak.
Dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada hak orang
lain juga. Walaupun sikit, kita wajar berbagi sama. Saya mengilirkan wang itu
antara beberapa surau dan masjid. Atau untuk rumah anak yatim juga. Selama
lebih 20 tahun saya berniaga laksa beras, dari berbasikal, sekarang sudah
bermotorsikal, setiap tahun saya dapat melaksanakan ibadah korban walaupun cuma
1 ekor kambing yang sederhana besar. Alhamdullilah, saranan agama, walaupun
sunat, ia dapat dilakukan. Setiap hari saya mula berniaga dari pukul 11.00
pagi.
Apabila tiba dimana-mana kampung, menjelang waktu solat
samada zohor atau asar, saya akan berhenti untuk solat berjemaah di mana –mana
surau kampung berkenaan. Saya tidak akan lupa memasukkan sedikit hasil jualan
laksa beras ini walaupun sedikit. Walaupun cuma menjual laksa beras, saya tetap
dapat mengerjakan solat di awal waktu secara berjemaah . Dapat menginfak wang
hasil jualan laksa beras untuk dikongsi dengan orang lain.
Saya suka berniaga menggelilingi kampung dan berhenti
solat di mana-mana surau atau masjid yang ditemui menjelang waktu solat.Saya
pernah dengar tuan guru kata, nanti di mahkamah akhirat, bumi dan hari akan
menjadi saksi. Maka nanti bumi akan berkata, si polan pernah solat di sini,
disini, di sini. Hari Isnin sipolan solat di masjid ini, hari Selasa kata si
polan solat di surau ini.
Dan seterusnya. Saya tidak kaya, tidak punya harta yang
banyak untuk melaksanakan zakat atau wakaf, namun saya tetap bersedekah ikut
rezeki yang Allah berikan kepada saya setiap hari. Duit dalam tabung pula
sebagai simpanan untuk menyempurnakan rukun Islam. Islam terdiri dari 5 rukun,
mengerjakan haji adalah rukun ke 5. Adakah solat itu sempurna jika rukunnya
tidak sempurna? Saya merasakan islam saya tidak akan sempurna jika rukunnya
saya tidak sempurnakan.
Oleh itu saya mahu berusaha menyempurnakan rukun Islam
ke 5 iaiatu mengerjakan haji. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin saya dapat
mengerjakan haji kerana ia memerlukan biaya yang besar. Terpegun saya dengan
jawapan yang diberikan oleh seorang penjual laksa beras ini. Seorang penjual
laksa beras, mempunyai misi dan visi yang jelas sebagai seorang islam. “Pakcik,
bukankah mengerjakan haji bagi yang mampu saja, jika tidak mampu kita tidak
dituntut untuk mengerjakannya.” “Bagaimana boleh mampu jika kita tidak usaha
menuju ke arah mampu. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin akan mampu
mengerjakan haji suatu hari nanti? Mampu itu kita sendiri yang tentukan. Adakah
selamanya kamu mahu hidup miskin jika kamu tidak usaha menjadi kaya dengan
menabung sedikit-sedikit mengumpul modal bagi meluaskan perniagaan?”
MasyaAllah, begitu jelas sekali fikirannya tentang
maksud mampu. Tersentap hingga hujung hati bila membanding diri ini dengan
pakcik yang hanya menjual laksa beras bermotosikal menggelilingi kampung. Muka
saya bagai ditampar-tampar kerana berilmu tetapi tidak beramal. Siapa yang
sangka dan ambil peduli akan kejernihan fikiran pakcik dalam melaksanakan
syariat agama Islam ini. Kisah ini saya abadikan bagi mengingatkan keenakkan
laksa beras yang selalu saya beli dari seorang penjual laksa beras yang bermotosikal
menggelilingi kampung. Tidak pasti adakah pakcik ini masih hidup atau telah
meninggal dunia. Laksa berasnya memang enak.
0 komen:
Post a Comment