Ditawan kemudian dipenggal kepala merupakan antara
kekejaman yang tiada tara dilakukan pengganas Sulu ke atas anggota keselamatan
negara.
Bukan itu sahaja, seorang anggota pasukan keselamatan yang turut ditawan
dirodok perutnya menggunakan parang Sulu atau barong sebelum dadanya dibelah dan
dikeluarkan segala organ dalaman.
Badan wira negara juga ditetak sehingga bercerai beberapa anggota badan
sebelum dicampak ke laut manakala ada antara mereka maut kerana kedua biji mata
mereka dicungkil menggunakan senjata tajam.
Seorang lagi anggota pasukan keselamatan walaupun terselamat menjadi cacat
apabila kedua-dua belah tangannya kudung akibat ditetak dan kepalanya dikelar
menggunakan kerambit.
Kesemua wira negara itu diperlakukan sedemikian selepas diserang hendap
pada 2 Mac lalu di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna.
Perbuatan yang sangat sadis dan tidak berperikemanusiaan itu menimbulkan
tanda tanya apakah mereka ini di bawah pengaruh dadah atau ilmu hitam.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan beliau
amat dukacita apabila niat suci Malaysia untuk tidak membenarkan setitik darah
tumpah di bumi Sabah dibalas dengan kekejaman oleh pengganas Sulu terhadap
anggota keselamatan.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook hari ini
mengesahkan, selepas operasi menyelamat dibuat anggota komando VAT 69, mayat
anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan penuh kejam.
"Apabila tiba di Kampung Simunul, pasukan polis diserang hendap oleh
penceroboh. Enam anggota polis terkorban manakala dua yang lain cedera. Enam
penceroboh bersenjata telah dibunuh pihak polis.
"Polis menghantar pasukan penyelamat untuk membawa keluar mayat wira-wira
kita. Mayat anggota polis ditemui dalam keadaan diperlaku dengan kejam oleh
penceroboh bersenjata tersebut," katanya.
Dalam serangan itu, enam anggota polis maut iaitu Supritendan Ibrahim
Lebar, Asisten Supritendan Micheal Padel, Sarjan Baharin Hamit, Sarjan Aziz
Sarikun, Koperal Salam Togiron dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran.
Semua mereka yang maut itu kemudian diberi kenaikan pangkat berkuat kuasa
serta-merta sebagai menghargai jasa dan pengorbanan wira yang diumumkan sendiri
oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Terdahulu, pada 1 Mac lalu, pengganas Sulu juga bertindak keji apabila
berpura-pura menyerah diri dengan mengangkat bendera putih sebelum menembak mati
dua anggota komando VAT 69 dan mencederakan tiga yang lain di Kampung Tanduo,
Lahad Datu.
Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin
Daud, 46, yang menyangka pengganas Sulu ikhlas kemudian bangkit daripada posisi
meniarap menyebabkan kedua-dua mangsa maut ditembak di kepala.
0 komen:
Post a Comment